Thursday, June 30, 2016

KEPENTINGAN ICT DALAM SUBJEK PENDIDIKAN KHAS

Saranan tentang kepentingan penggunaan ICT dalam subjek Pendidikan Khas

Antara saranan tentang kepentingan penggunaan ICT dalam subjek Pendidikan Khas

Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap Murid yang berkeperluan khas merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Pelaksanaan ini melibatkan mereka yang lembap atau lambat mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang sebaya dengan mereka.

Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang mengaplikasikan kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti pengajaran dan pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad(1996), abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi, industri dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak manfaat kepada guru khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet ini juga mampu membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam mencapai setiap matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dibentuk.

Antara kelebihan penggunaan internet dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada guru adalah seperti mengubah peringkat membuat keputusan. Hal ini seperti  kebiasaannya, penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan, bukan semasa peringkat merancang dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan media secara sesuka hati tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan penerimaan teknologi pengajaran pada peringkat perancangan kurikulum, perancang kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih menjamin keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum yang telah digariskan. Selain itu, mengubah sistem atau pendekatan pengajaran. Teknologi pengajaran boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas. Teknologi pengajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun. Sebagai contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan pengajaran, ia melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan melalui pembelajaran usaha sama, penyelesaian masalah dan penggunaan strategi pembelajaran penguasaan. Penggunaan teknologi pengajaran terutamanya teknologi maklumat, mungkin mengubah cara jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses pengajaran dan pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan pengetahuan dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti pembelajaran dan menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan pencarian maklumat menggunakan teknologi baru untuk pembelajaran.

 Malah, mengubah pengalaman pembelajaran seperti tanggapan masa kini terhadap pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak sengaja tetapi sengaja diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui perancangan yang rapi. Penggunaan atau aplikasi teknologi pengajaran secara teratur boleh membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus (sudah tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara. Secara amnya, teknologi pengajaran sebagai satu bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru dalam pengajaran di bilik darjah. Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem pendidikan di Malaysia telah lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan komputer ini tidak hanya terhad di peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut mencakupi pendidikan pada peringkat prasekolah. Pengunaan Cakera Padat Interaktif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet untuk tujuan capaian data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah menjadikan sistem pendidikan negara semakin berkembang maju. Perubahan positif ini telah mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan komputer dan teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang akan dibincangkan kemudian.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan program ini tidak hanya terhad kepada pendidikan Bahasa semata-mata. Program yang mempunyai potensi untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran murid-murid yang mempunyai tahap dan pencapaian akademik yang rendah perlu diperluaskan penggunaannya khususnya terhadap murid-murid yang menerima pendidikan khas. Rentetan daripada statistik yang ditunjukkan ini, pengkaji telah membuat keputusan untuk melihat keberkesanan prorgam Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran membaca pelajar yang menghadapi masalah menguasai aktiviti membaca. Hasil kajian yang akan dibentuk kelak adalah suatu yang perlu dikaji dengan lebih mendalam sama ada pelaksanaan program ini dapat meningkatkan pencapaian dan kemahiran membaca pelajar yang menghadapai masalah pembelajaran atau sebaliknya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005) mendapati bahawa penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus diberi keutamaan bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat beteknologi seperti komputer dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan kemahiran. Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui penggunaan komputer. Hal ini kerana penggunaan komputer dapat meningkatkan penyerapan maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini membawa kepada pengatasian had masa dan ruang.

Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan bahawa guru yang bijak mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya. Manakala Cox (1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering menggunakan komputer dalam melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengunakan ICT dan lain-lain alat seperti projektor, LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya bahawa penggunaan alat berteknologi seperti itu dapat meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah dan lebih seronok.

Seperti mana yang telah dinyatakan, teknologi pengajaran adalah satu konsep pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan kemudahan dan peralatan ICT sebagai salah satu medium utama dalam pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah. Penggunaan komputer, laptop, LCD projektor, cakera padat dan pelbagai elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang dapat menarik dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran. Melalui integrasi ICT beberapa perubahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori konstruktivisme.

Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).

Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang mereka minati dan gemari.




No comments:

Post a Comment